Mohon Operasi Ladang, Kilang Sawit Enam Daerah Di Sabah Diteruskan

KUALA LUMPUR, 8 April: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyarankan supaya operasi ladang dan kilang sawit di enam daerah di Sabah dapat diteruskan khususnya bagi kawasan yang tidak terjejas dengan COVID-19, jauh di pedalaman dan terasing daripada kawasan yang terjejas.

Menteri berkenaan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata ladang dan kilang tersebut dicadangkan beroperasi dengan pematuhan sepenuhnya secara lebih ketat mengikut langkah-langkah pencegahan dan prosedur operasi standard oleh Kementerian Kesihatan.

“Kesemua penggiat industri sawit negara perlu sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk meminimumkan tenaga kerja dan pergerakan pekerja dengan menjaga penjarakkan sosial serta mengamalkan penjagaan kebersihan pada setiap masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal Mohd Shafie semasa temubual di sebuah stesen televisyen tempatan pada 2 April untuk meneliti semula dan memberi kata putus terhadap penutupan operasi ladang dan kilang sawit di enam daerah itu.

Keputusan itu dijangka diumumkan oleh Mohd Shafie selepas Mesyuarat Kabinet Negeri Sabah hari ini.

Mohd Khairuddin berkata pada 25 Mac, kementerian itu telah mengemukakan surat rayuan kepada Mohd Shafie supaya mempertimbangkan semula perintah penutupan operasi bagi enam daerah yang terlibat. 

Selain itu, beliau berkata kementerian melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga telah mengemukakan maklumat dan input yang berkaitan kepada pihak kerajaan negeri dengan harapan supaya satu penilaian dan pertimbangan yang sewajarnya dapat dibuat.

“Kementerian berpandangan kenyataan oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan Persatuan Pemilik Ladang Sawit Malaysia (MEOA) pada 7 April bahawa penutupan operasi ladang dan kilang sawit akan memberi implikasi ke atas sosio-ekonomi masyarakat Sabah mempunyai meritnya dan wajar dipertimbangkan semula oleh kerajaan negeri berdasarkan kes demi kes,” katanya.

Beliau berkata langkah penutupan operasi ladang dan kilang sawit bukan sahaja memberi implikasi dari aspek ekonomi dan sosial kepada pekerja dan pemilik ladang dan kilang sawit, malah turut memberi kesan kepada hasil pendapatan, khususnya Sabah dan negara secara amnya.

Menurut Mohd Khairuddin, kutipan hasil sektor perladangan sawit amat diperlukan oleh kerajaan negeri dalam membiayai program membendung penularan COVID-19 dan memberi bantuan secara langsung kepada rakyat yang terjejas semasa dan selepas PKP.

Katanya penutupan operasi ladang dan kilang sawit juga dilihat akan merencatkan dan menjejaskan rantaian pengeluaran bekalan minyak masak untuk keperluan domestik, khususnya di Sabah.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya menyokong tindakan penutupan ladang dan kilang sawit yang mempunyai kes pekerja disahkan positif COVID-19.

BERNAMA

4415