PKP: Pembahagian Dua Zon Di Daerah Sandakan Perlu Dipatuhi

Azhar

SANDAKAN: Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin menasihati masyarakat Sandakan supaya lebih mematuhi pembahagian zon yang ditetapkan ketika keluar untuk membeli barang keperluan dan ke bank sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata daerah Sandakan kini telah dibahagikan dua zon iaitu Zon A dan B dengan mengikut lokasi sekatan jalan raya yang dilaksanakan oleh pihaknya.

Azhar berkata Zon A bermula dari Pusat Bandar Sandakan sehingga Batu 4 dan Batu Sapi.

Kenderaan-kenderaan tersekat di Lintas Jalan Utara kerana melintas Sekatan Jalan Raya COVID-19 untuk kebenaran memasuki Zon A (Pusat Bandar Sandakan).

“Bagi Zon B pula bermula dari Batu 4 sehingga ke darat,” katanya ketika mengulas mengenai kesesakan yang berlaku di Sekatan Jalan Raya Jalan Lintas Utara, pagi semalam.

Beliau berkata orang ramai di Zon B tidak perlu ke Zon A untuk  mendapatkan barang keperluan dan lain-lain urusan terutamanya ke bank bagi membuat pemeriksaan wang bantuan kerana di Zon B juga terdapat bank di kawasan itu.

Azhar berkata bagi penduduk dari Batu 5, Batu 6, Batu 7 dan ke darat  dinasihatkan untuk mendapatkan perkhidmatan bank, klinik kesihatan, farmasi dan membeli barang keperluan harian di pasar raya atau pasar umum di kawasan tempat tinggal mereka.

Beliau menjelaskan mereka tidak perlu ke kawasan Pusat Bandar Sandakan dan Batu 4 untuk mendapatkan perkhidmatan berkenaan.

Azhar menegaskan sekiranya perkara itu berlaku pegawai dan anggota yang bertugas di sekatan jalan rakan mengarahkan untuk balik semula ke kawasan mereka.

“Mana-mana kenderaan yang bergerak dan melalui sekatan jalan raya tanpa alasan yang munasabah akan diarahkan pulang ke rumah terutamanya selepas jam 6 petang,” katanya.

Beliau menasihati semua orang ramai di daerah ini supaya mematuhi PKP dan terus tinggal di rumah sekiranya tiada urusan mendesak sebagai usaha memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

SumbeR: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *