Warga Filipina Ingkar PKP Dipenjara 4 Bulan, Denda RM500

KOTA KINABALU: Dua pembantu kedai warga Filipina yang tidak memiliki dokumen dipenjara empat bulan dan didenda RM500 atau sebulan penjara setiap seorang kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membuka sebuah kedai kopi pada waktu malam.

Eric Borhan, 25, dan Ajin Teddy, 26, mengaku bersalah di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun pada Isnin, melakukan kesalahan itu pada jam 8.30 malam pada 1 April di sebuah premis di pekan Inanam.

Dakwaan terhadap mereka menyatakan bahawa kedua-duanya dengan sengaja membuka premis berkenaan di tempat tersebut yang merupakan kawasan jangkitan di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dengan melanggar arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah. 

Kedua-duanya melanggar Peraturan 4(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11(1) Peraturan sama yang memperuntukkan denda sehingga RM1,000 atau hukuman penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Adibah Saiful Bahri memaklumkan mahkamah bahawa pada hari tersebut polis yang melakukan rondaan Ops Covid-19 di kawasan pekan Inanam, melihat pintu sebuah kedai kopi dibuka dan mengarahkan ia untuk ditutup.

Kira-kira 30 minit kemudian, polis kembali ke kedai itu dan semasa pemeriksaan menemui dua lelaki, kemudian dikenal pasti sebagai Eric dan Ajin, sedang duduk di dalamnya.Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke balai polis selepas dijelaskan bahawa mereka telah melanggar PKP.

Siasatan lanjut mendedahkan bahawa kedua-dua Eric dan Ajin merupakan pekerja kedai itu dan baru mula bekerja di sana sejak tiga bulan lalu dan tidak mempunyai dokumen pengenalan.

Kedai itu didapati merupakan kedai kopi yag menjual minuman panas dan arak.Kedua-dua Eric dan Ajin meminta hukuman ringan mengatakan mereka mempunyai tanggungan.

Apabila ditanya oleh mahkamah kenapa mereka mengabaikan perintah itu, kedua-duanya mendakwa mereka tidak tahu ada perintah sambil menambah mereka memegang kunci premis dan membuka perniagaan. 

Jessica memerintahkan mereka dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman. – Harian Ekspress

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *