Pecah Restoran Segera Di Likas Ketika PKP

Habibi (tengah) menunjukkan barang yang dirampas selepas menahan suspek dalam serbuan di Kampung Bakau. Foto Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Seorang lelaki mengambil kesempatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan memecah masuk restoran makanan segera di Plaza Juta, Likas, Kota Kinabalu dan melarikan barang bernilai kira-kira RM14,500.

Bagaimanapun suspek berusia 21 tahun itu berjaya ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Bakau, Likas, jam 7.30 pagi, 5 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pengurus restoran berkenaan mendapati pintu kaca hadapan premis itu pecah pada 2 April lalu.

“Pemeriksaan lanjut oleh pengadu mendapati beberapa aset restoran hilang dipercayai dicuri antaranya televisyen, telefon, dua mesin juruwang dan sebuah motosikal milik syarikat berkenaan.

“Anggaran kos kerugian bernilai RM14,581.80. Satu laporan polis dibuat pengadu mengenai kejadian itu,” katanya dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya menjejaki suspek sebelum menahannya di sebuah rumah di Kampung Bakau.

“Hasil soal siasat suspek membawa rampasan semula barangan yang dicuri antaranya motosikal, televisyen dan beberapa peralatan yang digunakannya untuk mencuri,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut juga mendapati suspek mempunyai jenayah lampau terbabit jenayah narkotik dan jenayah pencerobohan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A / Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *