Empat Ditahan Asyik Berkaraoke Di Towering, Ingkar PKP

Empat lelaki yang ditahan kerana mengingkari PKP dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Penampang. Gambar Juwan Riduan

PENAMPANG: Keghairahan empat lelaki berkaraoke tanpa mempedulikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akhirnya memakan diri apabila mereka ditahan polis di sebuah premis karaoke di Towering di sini, malam tadi.

Perbuatan itu disedari anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang yang menjalankan rondaan pemantauan PKP Covid-19 di kawasan berkenaan, jam 9.50 malam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, ketika anggota menjalankan tugas, terdengar bunyi bising di sebuah premis perniagaan.

“Tindakan lanjut polis membuat serbuan dan pemeriksaan mendapati terdapat empat lelaki berkumpul di sebuah bilik karaoke.

“Semua mereka kemudian ditahan kerana didapati berkumpul di dalam premis dan ingkar kepada arahan PKP Covid-19,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, pemeriksaan lanjut juga mendapati premis itu tidak mempunyai lesen perniagaan dan lesen hiburan.

“Tiga lelaki iaitu pelanggan dan seorang pemilik premis terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

“Polis turut merampas beberapa set sistem karaoke serta wang tunai berjumlah RM1,337,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Tambah beliau lagi, pihaknya sudah merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan semua tangkapan akan dituduh hari ini Peraturan 11 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.2) 2020.- Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *