98 Individu Termasuk 83 Rakyat Malaysia Terkandas Di Nunukan Tiba Di Tawau

Sebahagian rakyat Malaysia selamat tiba di Terminal Feri Tawau (TFT) 10.45 pagi tadi. Gambar Abdul Rahemang Taiming.

TAWAU: Seramai 98 individu termasuk 83 rakyat Malaysia yang terkandas di Nunukan, Kalimantan Utara, Indonesia sejak 30 Mac lalu selamat tiba di Terminal Feri Tawau (TFT) pagi ini.

Kumpulan terbabit menaiki feri khas MV Labuan Express itu tiba di jeti TFT kira-kira 10.45 pagi sebelum diiring masuk ke Kompleks Kastam Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS).

Maritim Tawau dan Pasukan Polis Marin Tawau berjaya mengiringi Feri yang dinaiki 83 rakyat Malaysia dan 15 warga Indonesia yang terkandas di Nunukan bagi memasuki Malaysia melalui perairan Tawau pada pagi tadi.

Mereka terdiri daripada 45 lelaki, 44 wanita, sembilan kanak-kanak, termasuk 15 warga Indonesia yang isteri, suami atau ibu bapa kepada pasangan (jaminan) warga Malaysia.

Mereka turut menjalani saringan kesihatan termasuk pemeriksaan suhu yang dikendalikan kakitangan pejabat kesihatan sebelum pasport mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk disahkan.

Sebahagian rakyat Malaysia selamat tiba di Terminal Feri Tawau (TFT) jam 10.45 pagi tadi.

Proses penghantaran pulang hari ini adalah siri ketiga selepas kerajaan negeri memberikan kebenaran khas kepada rakyat Malaysia yang terkandas di Indonesia selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Ia diselaraskan Pejabat Ketua Menteri Sabah bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama Konsulat Malaysia di Pontianak serta Konsulat Republik Indonesia.

Turut terbabit Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) dan TFT.

Terdahulu, Harian Metro pada 3 April lalu memaparkan nasib beberapa individu terkandas di negara jiran itu melalui rayuan salah seorang daripada mereka, Ahmad Rizamsyah Mohd Noor, 28, yang memuat naik rakaman video melalui Facebook dan tular.

Sementara itu, tinjauan mendapati sebanyak empat trak tentera, dua lori APM, selain masing-masing sebuah lori milik PDRM, MPT dan JKR digunakan untuk membawa kesemua mereka termasuk barang peribadi ke Pusat Kuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau.

Difahamkan, setakat hari ini seramai 128 individu yang terkandas di Indonesia sudah dibawa pulang secara berasingan termasuk 24 jemaah tabligh masing-masing pada 21 dan 29 Mac lalu.

SumbeR: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *