Haiwan Peliharaan Seperti Anjing & Kucing Bukan Penyebar COVID-19 Kepada Manusia – Veterinar

Gambar Hiasan – Sumber Gambar Google

Haiwan Peliharaan dan haiwan kesayangan yang dibela seperti anjing dan kucing tidak boleh menjadi agen penyebar virus Corona kepada manusia.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dalam satu kenyataan berkata, buat masa ini pemilik haiwan tidak perlu menjalankan ujian pengesanan COVID-19 kepada haiwan kesayangan mereka.

“Berasaskan penemuan saintifik semasa, walaupun haiwan kesayangan boleh dijangkiti virus COVID-19, namun ia tidak berbahaya kerana virus ini hanya menyebabkan jangkitan yang ringan kepada haiwan tersebut.

“Virus yang ada pada haiwan berada dalam jumlah yang rendah untuk disebarkan kepada manusia,” jelas kenyataan tersebut hari ini.

Selain itu, DVS menambah, walaupun jangkitan COVID-19 kepada manusia agak tinggi namun kes melibatkan haiwan kesayangan adalah terpencil kerana ia tidak boleh dijangkiti secara semulajadi.

“Sehingga kini, punca jangkitan adalah daripada manusia.

“DVS menasihatkan pemilik haiwan kesayangan yang mengesyaki dirinya dijangkiti COVID-19 perlu mengasingkan diri daripada haiwan kesayangan bagi mengelakkan sebarang kontak berlaku.

“Pemilik haiwan kesayangan perlu mengamalkan kebersihan diri dan memastikan keperluan kebajikan haiwan tidak diabaikan,” tambahnya lagi.

DVS dalam kenyataannya memetik satu penjelasan daripada Persatuan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) pada April 2020 yang menjelaskan;

“Perkhidmatan Veterinar Hong Kong melaporkan kepada OIE tentang kejadian dua ekor anjing terkena jangkitan COVID-19 akibat berkontak rapat dengan pemiliknya yang juga seorang pesakit COVID-19. Hasil ujian masa-nyata PCR, menunjukkan wujud kehadiran bahan genetik virus COVID-19 pada dua anjing tersebut. Namun, anjing itu tidak menunjukkan sebarang tanda penyakit secara klinikal. Tiada bukti yang mengatakan bahawa anjing boleh menjadi agen penyebaran penyakit manusia ini. Kajian selanjutnya sedang dijalankan untuk memahami bagaimana jika haiwan boleh terkesan dengan COVID-19. OIE akan mengemas kini sebarang maklumat dan informasi baharu akan datang.”

Sumber: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia