Polis Pasang Terowong Sanitasi Di Sabah

Zaini memasuki terowong sanitasi mudah alih di perkarangan IPK Sabah, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Sebagai langkah mencegah Covid-19, polis mengambil inisiatif menyediakan terowong sanitasi mudah alih di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, sekurang-kurangnya RM70,000 dibelanjakan untuk memasang terowong sanitasi mudah alih di seluruh IPD di Sabah dalam tempoh tiga hari.

Menurutnya, kemudahan itu bukan hanya untuk kegunaan warga polis, sebaliknya orang awam yang mempunyai urusan di IPD juga perlu melakukan pembasmian kuman sebagai bukti ketegasan pihak berkuasa memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Mengambil kira keadaan dan peningkatan Covid-19 yang terus meningkat di Sabah, kita perkenalkan terowong sanitasi mudah alih dan ia mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Insya-Allah dalam tempoh tiga hari, kita akan dapat edarkan kesemua daerah dan di IPK.

“Inisiatif ini diambil menunjukkan komitmen kami di Sabah ini dalam melaksanakan PKP dan memastikan keselamatan warga PDRM ketika bertugas di lapangan dalam menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya dalam sidang media di IPK Sabah, Kota Kinabalu hari ini.

Zaini berkata, pegawai dan anggota PDRM Sabah juga terdedah kepada kepada penularan wabak Covid-19.

“Setakat hari ini, seramai 121 pegawai dan anggota yang disyaki Covid-19 dan dikuarantin manakala seramai 48 orang disahkan negatif Covid-19 selepas tempoh kuarantin berakhir.

“Setakat ini, hanya seorang anggota yang disahkan positif Covid-19 namun berada dalam keadaan yang stabil dan sedang dirawat di Hospital Sibu, Sarawak,” katanya.

SumbeR: Harian Metro

15356