Dakwaan Guna ‘Orang Dalam’, ‘Bos’ Imigresen Beri Pelepasan Tidak Benar

Kenyataan bergambar di media sosial pada 1 April lalu yang mendakwa tiga penumpang berlepas menaiki pesawat melalui Lapangan Terbang Tawau, Sabah menggunakan ‘orang dalam’ iaitu ‘bos imigresen’ walaupun ketika pelaksanaan PKP.

KOTA KINABALU: Dakwaan individu memaklumkan dirinya diberi pelepasan ke Semenanjung menggunakan ‘orang dalam’ iaitu ‘bos imigresen’ yang tular di media sosial pada 1 April lalu tidak benar dan tidak berasas.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, mengikut Peraturan Imigresen berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada 18 Mac lalu, semua warganegara Malaysia yang sedang bercuti, belajar, bekerja atau bertugas rasmi di Sabah atau Sarawak tidak dihalang untuk kembali ke negeri berkenaan dan juga sebaliknya atas faktor kemanusiaan.

“Semua warganegara yang mahu masuk ke Sabah perlu mendapat kelulusan Kerajaan Negeri kecuali penjawat awam dan Persekutuan selain pekerja swasta yang bertugas di perkhidmatan penting tertakluk kepada surat pengesahan Ketua Jabatan.

“Selain itu, penduduk bukan berasal Sabah termasuk suami atau isteri dan anak mereka dengan pemegang Pas Penduduk Tetap Sabah, Penduduk Sabah di bawah Pas Kerja, Pas Pelajar, Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang atau apa-apa perintah pengecualian dibenarkan masuk tertakluk kepada kuarantin kendiri selama 14 hari, manakala pasangan bukan penduduk Sabah perlu menunjukkan bukti perkahwinan.

“Merujuk kepada peraturan itu, semua warganegara Malaysia tidak dihalang untuk meninggalkan Sabah dan tidak perlu mendapat kebenaran khas dari pihak JIM, namun hanya perlu melalui pemeriksaan imigresen biasa sahaja,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi merujuk penularan kenyataan bergambar di media sosial pada 1 April lalu mendakwa tiga penumpang berlepas menaiki pesawat melalui Lapangan Terbang Tawau, Sabah.

Dalam status tular itu, penumpang berkenaan mendakwa diberikan pelepasan ke Semenanjung menggunakan ‘orang dalam’ iaitu ‘bos imigresen’ walaupun ketika pelaksanaan PKP.

Beliau berkata, pihaknya sudah berhubung dengan penumpang berkenaan bagi mendapatkan penjelasan dan dimaklumkan bahawa dia hanya menghubungi pegawai Imigresen untuk bertanya status kebenaran berlepas ke Semenanjung dan bukannya menggunakan ‘orang dalam’ seperti didakwa.

“Penumpang itu sudah memohon maaf atas kejadian berkenaan hari ini dan berjanji memadam kenyataan terbabit di media sosial.

“Justeru, JIM Sabah menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati membuat kenyataan di media sosial supaya tidak menyebarkan berita palsu mencemarkan imej jabatan kerajaan sebagai pemberi perkhidmatan di barisan hadapan sepanjang tempoh PKP,” katanya.

SumbeR: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *