Boleh Pergi Semenanjung & Sarawak, Serta Kembali Semula Sabah, Tetapi…

Warganegara Malaysia tidak dihalang untuk meninggalkan Negeri Sabah dan tidak perlu mendapat kebenaran khas dari pihak Imigresen.- Foto Twitter Dato Dr Muhamad Sade.

KUALA LUMPUR : Semua warganegara Malaysia yang sedang bercuti belajar atau mempunyai tugas secara rasmi di Sabah tidak dihalang untuk keluar ke Semenanjung atau Sarawak serta masuk semula ke Sabah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, namun mereka perlu mendapatkan kelulusan Kerajaan Negeri Sabah terlebih dahulu.

Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin, hanya mereka yang menjalankan tugas dalam perkhidmatan penting (essential services) sama ada dalam sektor swasta atau kerajaan dibenarkan dengan mengemukakan surat pengesahan Ketua Jabatan atau majikan setiap kali tugasan.

“Penduduk bukan rakyat Sabah (Non-Sabahan) termasuk suami/isteri dan anak mereka dengan pemegang Pas Penduduk Tetap Sabah, Penduduk Sabah di bawah Pas Kerja, Pas Pelajar, Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang atau apa-apa perintah pengecualian dibenarkan masuk tertakluk kepada kuarantin kendiri selama 14 hari, iaitu stay home notice.

“Pasangan yang bukan penduduk Sabah perlu menunjukkan bukti perkahwinan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas penularan gambar di media sosial yang menyatakan tiga penumpang telah berlepas ke Semenanjung pada 1 April 2020 melalui Lapangan Terbang Tawau.

Katanya dakwaan penumpang berkenaan yang mendakwa telah diberi perlepasan ke Semenanjung menggunakan ‘orang dalam’ iaitu ‘bos imigresen’ pada hari kejadian adalah tidak benar dan tidak berasas.

Ini kerana berdasarkan peraturan semua warganegara Malaysia tidak dihalang untuk meninggalkan Negeri Sabah dan tidak perlu mendapat kebenaran khas dari pihak Imigresen tetapi hanya perlu melalui pemeriksaan Imigresen biasa sahaja.

Mengulas lanjut Dr Muhamad Sade berkata pihaknya telah berhubung dengan penumpang berkenaan dimaklumkan bahawa dia hanya menghubungi pegawai Imigresen untuk bertanya status kebenaran berlepas ke Semenanjung dan bukannya menggunakan ‘orang dalam’ seperti yang didakwa.

“Dia telah memohon maaf atas kejadian viral ini kepada Jabatan pada 1120hrs, 03 April 2020 dan berjanji akan memadam kenyataan bergambar tersebut di media sosial,” katanya lagi.

Sehubungan itu JIM Sabah, menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membuat kenyataan di media sosial atau menyebarkan berita palsu yang mencemarkan imej jabatan kerajaan sebagai pemberi perkhidmatan di barisan hadapan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – Awani Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *