Memburu Ketika PKP, Lelaki Ditahan Bersama Bakakuk

Suspek yang ditahan bersama bakakuk selepas mengingkari PKP.
 Polis menjalankan pemeriksaan terhadap suspek di Kampung Madang Pimping Membakut.

BEAUFORT: Bukan setakat ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perbuatan lelaki yang memburu menggunakan senapang patah buatan sendiri (bakakuk) itu menyebabkan beliau bakal berhadapan hukuman penjara selepas ditahan di kawasan tanah perkuburan Kampung Madang Pimping Membakut di sini.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kejadian jam 11.30 malam itu berlaku apabila sepasukan polis mengesan suspek dalam keadaan mencurigakan di dalam kereta pacuan empat roda semasa menjalankan rondaan PKP.

“Semasa diperiksa polis menemukan dua butir peluru berwarna putih jenis 12 bore di dalam poket hadapan sebelah kanan suspek.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan suspek turut menemukan karung berwarna putih di bahagian belakang tempat duduk pemandu hadapan yang mengandungi satu laras bakakuk bertali gelap,” katanya.

Beliau berkata suspek dan beberapa barangan rampasan termasuk bakakuk, parang, anak kunci serta kenderaan suspek dibawa ke IPD Beaufort untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek keluar dari rumahnya di Kampung Madang Pimping kira-kira jam 4 petang untuk ke kawasan hutan berhampiran bagi memburu haiwan liar semasa penguatkuasaan PKP.

“Suspek yang memburu seorang diri itu membawa senjata buatan sendiri dan semasa dalam perjalanan pulang suspek ditahan sepasukan polis untuk pemeriksaan,” katanya.

Menurutnya suspek ditahan selepas ingkar dengan PKP selain memiliki senjata buatan sendiri dan suspek akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sumber: Utusan Borneo

10603