Hidupan Liar Kembali Dijual Di China

Gambar Hiasan

BEIJING: Hidupan liar dikesan masih dijual di pasar yang dibuka semula di China, selepas negara itu mengisytiharkan kemenangan melawan COVID-19.

Tinjauan wartawan mendapati haiwan seperti anjing dan kucing dikesan berada dalam sangkar dan sedia untuk disembelih di pasar makanan China yang biasanya dikenali sebagai pasar basah.

Pada Januari lalu, China mengarahkan semua pasar basah ditutup selepas kajian mendapati coronavirus dikesan berjangkit daripada haiwan kepada manusia iaitu menerusi kelawar dan beberapa jenis haiwan lain yang dijual di situ.

Bagaimanapun, menurut wartawan Daily Mail, kini pasar berkenaan di beberapa daerah dikesan beroperasi semula seperti biasa.

“Pasar basah kembali beroperasi sama seperti sebelum pandemik ini berlaku, cuma sekarang ada pengawal keselamatan melarang sesiapa yang cuba mengambil gambar,” katanya.

Seorang lagi wartawan di Guilin merakamkan gambar kelawar, ular, labah-labah, cicak dan kala jengking dijual secara terbuka, yang sudah lama menjadi sebahagian menu masyarakat China kerana dipercayai mampu merawat sesetengah penyakit.

Imej yang dirakam itu berlegar di media sosial, sekali gus membuktikan ia adalah perkara biasa, malah seorang pengacara CNBC turut memuat naik video gerai menjual kala jengking.

Meskipun China mendakwa mereka sudah berjaya melawan COVID-19, perkara itu dipertikaikan ramai pihak kerana statistik jangkitan sebenar yang dikeluarkan Parti Komunis China didakwa meragukan. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *