Rakyat Indonesia Diminta Henti Masuk Tawau Secara Haram

Pihak berkuasa Indonesia memeriksa bot yang dipercayai membawa ketam untuk pasaran di Tawau.

TAWAU: Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau meminta warga Indonesia tidak cuba memasuki perairan Malaysia secara haram selepas kerajaan Negeri Sabah menutup semua laluan keluar dan masuk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi surat yang dihantar ke Bupati Nunukan, bertarikh 29 Mac 2020, pihak KRI di Tawau Sulistijo Djati Ismojo memberitahu masih terdapat pergerakan masuk kapal jongkong, produk dan orang dari wilayah berkenaan ke Malaysia.

“Hasil maklumat yang diperolehi hasil laut dari Indonesia termasuk ikan dan ketam masih dibawa masuk ke Tawau secara haram.

Pihak berkuasa Indonesia merampas bot sarat dengan muatan ketam.

“Mereka menggunakan modus operandi memunggah muatan itu dari kapal jongkong Indonesia di kapal milik Malaysia di sempadan perairan Sungai Melayu dan Wallace Bay sebelum ianya dihantar ke pasar ikan di Tawau,” katanya.

Menurut Sulistijo, pihaknya memahami keperluan masyarakat Indonesia menjual hasil laut ke Tawau apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang buruk akibat wabak COVID-19.

“Namun, rakyat Indonesia juga perlu memahami tindakan kerajaan Malaysia mengawal ketat pergerakan di perairan Tawau adalah bertujuan mengekang penularan COVID-19 yang banyak dilaporkan berlaku di daerah ini.

“Oleh itu, kami berharap supaya warga Indonesia tidak lagi menghantar hasil laut mereka ke Tawau kerana tindakan itu salah dan boleh dikenakan hukuman oleh kerajaan Malaysia kerana ingkar arahan PKP,” katanya.

Dalam masa sama, warganegara Indonesia yang berada di Sabah ketika ini juga diminta mematuhi PKP bagi mengurangkan kontak secara langsung yang menyebabkan penyebaran COVID-19.

Sementara itu, menurut sumber, ketika ini pihak berkuasa Indonesia sedang giat melakukan rondaan yang ketat di sempadan perairan Pulau Sebatik yang menjadi laluan utama aktiviti penyeludupan ke Tawau.

Media dari sebarang semalam melaporkan, pihak berkuasa Indonesia menahan dua bot sarat membawa ketam yang dalam perjalanan dari Tarakan menuju ke Sungai Nyamuk, Pulau Sebatik, dipercayai untuk dibawa masuk ke Tawau.

“Walaupun terdapat surat kebenaran menghantar ketam berkenaan ke Tawau, namun, pihak berkuasa di sana telah menutup semua pintu masuk sempena pelaksanaan PKP,” katanya.

SumbeR: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *