SPRM Siasat Dakwaan Bantuan Diseleweng Di Sabah

Mesej dan gambar bantuan keperluan harian yang tular di media sosial didakwa kurang daripada nilai yang diperuntukkan. FOTO tular media sosial

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dakwaan bantuan makanan daripada kerajaan Sabah yang dikatakan diseleweng.

Siasatan dilakukan selepas mesej serta gambar tular di media sosial mendakwa bantuan makanan ihsan kerajaan negeri itu yang sepatutnya bernilai RM100, disumbangkan dengan nilai lebih rendah, baru baru ini.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy berkata, pihaknya sudah menerima maklumat berkenaan isu itu dan satu pasukan petugas dan task force ditubuhkan di peringkat negeri.

Task force ini untuk memantau perolehan dan pengagihan bantuan makanan berkenaan seperti mana yang dilaporkan.

“Pemantauan dan siasatan ke atas isu ini dijalankan oleh SPRM Sabah,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bantuan itu diberikan oleh kerajaan negeri di setiap Dewan Undang Negeri (DUN).

“SPRM Sabah akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam memastikan bantuan itu dapat disalurkan kepada orang ramai tanpa berlakunya sebarang ketirisan,” katanya.

Difahamkan, bantuan itu diberikan kerajaan negeri kepada orang ramai berikutan pandemik Covid-19.

Terdahulu, satu mesej tular menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook mengenai nilai bantuan barangan keperluan harian tidak sampai RM100.

Gambar barangan keperluan harian itu turut disebarkan antaranya beras, gula, minyak biskut, sardin, mi segera dan tepung.

Mesej yang tular itu juga mendakwa isunya bukan masalah tidak bersyukur, cuma teguran kepada pihak yang diberi tanggungjawab untuk agihkan bantuan berkenaan.

Mesej itu juga menpersoalkan bantuan sepatutnya diterima dengan nilai RM100 kepada mereka yang memerlukan kerana itulah peruntukan disediakan, tapi nilai barangan yang diterima rendah daripada sepatutnya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *