Pemandu, Kelindan Maut Lori Terbalik Di Kota Belud

Bomba mengeluarkan pemandu dan kelindan lori yang maut dalam kemalangan. Foto Ihsan Bomba

KOTA BELUD: Pemandu dan kelindan lori maut selepas lori dinaiki terbabas lalu terbalik di Jalan Bukit Kelawat-Tenghilan berhampiran Kampung Kelawat di Kota Belud, petang hari ini.

Dalam kejadian 4.25 petang itu, pemandu, Radzli Nampak, 35, serta kelindan, Mahathir Mohammad, 36, ditemui tersepit sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bomba mengeluarkan pemandu dan kelindan lori yang maut dalam kemalangan. Foto Ihsan Bomba

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 4.29 petang dan seramai 12 anggota bergegas ke lokasi berserta dua jentera.

Katanya, sebaik tiba, lori dipercayai dari arah Kota Kinabalu menghala Kota Belud itu didapati dalam keadaan terbalik di bahu kiri jalan, manakala kedua-dua mangsa ditemui tersepit di dalam kenderaan.

“Pasukan bomba mengambil masa hampir 40 minit mengeluarkan kedua-dua mangsa menggunakan peralatan khas.

“Pasukan paramedik yang tiba di lokasi juga mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke hospital Kota Belud menggunakan ambulans untuk tindakan lanjut.

“Pihak bomba seterusnya menjalankan pemeriksaan kenderaan serta lokasi untuk mencegah bahaya lain.

“Operasi ditamatkan 5.44 petang manakala punca kejadian dalam siasatan polis,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *