JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) berkata, negara itu akan mengeluarkan penawar chloroquine, iaitu ubat anti-malaria yang diuji sebagai bentuk perawatan COVID-19.
Menurut beliau, syarikat farmaseutikal milik kerajaan, PT Kimia Farma akan menghasilkan penawar yang diekstrak dari pokok cinchona yang biasa didapati di negara itu.
“Tidak ada ubat atau antivirus untuk COVID-19, tetapi kita mengambil pengalaman dari negara-negara lain, chloroquine didapati dapat digunakan untuk membantu pesakit sembuh dari penyakit,” katanya semasa membuat lawatan di perkampungan atlet Sukan Asean di Kemayoran, Jakarta yang telah dijadikan hospital khas untuk merawat pesakit COVID-19.
Jokowi berkata, penawar itu tidak boleh didapati di kedai ubat kerana ia hanya akan diberi selepas mendapat kelulusan doktor.
Jelasnya lagi, kerajaan juga telah memperoleh tiga juta tablet chloroquine yang boleh didapati di hospital.
Chloroquine, yang lazim digunakan untuk merawat malaria, disyorkan oleh China yang mendakwa ia berkesan dalam memerangi penyakit ini.
Amerika Syarikat kini dilaporkan menguji chloroquine untuk menentukan sama ada ia sesuai untuk rawatan.
Penawar ini masih di bawah percubaan klinikal di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bersama dengan ubat anti-flu favipiravir, yang juga dikenali sebagai Avigan; gabungan dua ubat HIV, lopinavir dan ritonavir; dan penawar Ebola.
Dalam pada itu, profesor farmakologi dan farmasi klinik di Universiti Padjadjaran, Keri Lestari berkata, Indonesia mengimport chloroquine sebagai bahan mentah untuk menghasilkan ubat anti-malaria, tetapi tidak mustahil untuk menghasilkan semula penawar itu dengan semua bahan tempatan.
“Kita boleh menghasilkan penawar dari bahan yang sama yang dipanggil quinine sulfate.
“Namun, lebih banyak kajian diperlukan untuk menilai keberkesanannya,” katanya.
Keri berkata lagi, kerajaan perlu memanfaatkan kemungkinan mengeluarkan penawar menggunakan bahan tempatan akibat kekurangan stok global.
“Kami mempunyai makmal di Universiti Padjadjaran, Universiti Airlangga dan Universiti IPB untuk menjalankan ujian yang diperlukan,” katanya. – Reuters / Awani