COVID-19: SESB Sumbang RM1 Juta Bantu KKM

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan menyumbang RM1 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha memerangi wabak COVID-19 khususnya di negeri ini.

Inisiatif itu dilaksanakan susulan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan KKM yang sebelum ini menubuhkan kumpulan kolaborasi dikenali sebagai ‘Corporate Malaysia Against COVID-19 Action Coalition’.

Pemangku Pengarah Urusan SESB, Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata SESB sebagai anak syarikat TNB akan turut sama dengan memberikan sumbangan sejumlah RM1 juta.

Katanya, sokongan itu juga adalah sebahagian inisiatif membantu memerangi pandemik COVID-19 yang semakin menular di Malaysia khususnya di Sabah.

“Hari demi hari kita dikhabarkan dengan berita yang sungguh menyedihkan apabila angka rakyat yang positif COVID-19 semakin meningkat.

“SESB memahami kepentingan untuk sumber hospital kerajaan berada dalam keadaan sentiasa mencukupi bagi menangani jumlah peningkatan pesakit COVID-19,” katanya.

Abdul Nasser berkata, adalah diharapkan dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban pembelian peralatan perubatan dan kesihatan yang diperlukan KKM untuk memerangi wabak COVID-19. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *