Tetamu Kenduri Kahwin Di Kudat Diarah Beredar

Tetamu majlis kenduri kahwin diarahkan beredar di sebuah Kampung di Sikuati, Kudat. Foto Ihsan Pembaca

KUDAT: Seramai 30 tetamu kenduri kahwin di sebuah kampung di Sikuati di Kudat, diarahkan beredar oleh pasukan pemantau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Difahamkan, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), turut hadir di lokasi jam 10 pagi itu adalah agensi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Penerangan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Bandaran Kudat (LBK).

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, majlis dijadualkan bermula jam 12 tengah hari itu disedari anggota polis yang memantau selepas mendapat maklumat orang awam.

“Anggota pasukan pemantau bertemu dengan tuan rumah untuk memberi arahan dan keluarga pengantin serta tetamu akur untuk tidak meneruskan majlis.

“Ia susulan perintah kerajaan yang mengarahkan larangan majlis atau perhimpunan beramai-ramai seperti perkahwinan termasuk berkaitan keagamaan sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa,” katanya dihubungi.

Mohd Firdaus berkata, pihaknya dengan kerjasama agensi lain giat menjalankan pemantauan sejak 18 Mac lalu sehingga 31 Mac ini selaras pelaksanaan PKP. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *