‘Peserta Tabligh Diminta Tampil, Kamu Takkan Dilokap’

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob menyeru peserta perhimpunan Tabligh di Masjid Seri Petaling awal bulan ini, termasuk pendatang asing tanpa izin bersama ahli keluarganya untuk tampil ke hadapan untuk membuat pemeriksaan Covid-19 dengan memberi jaminan tidak akan ditangkap.

“Saya dah katakan tadi bahawa tujuan kita meminta pihak Tabligh menyerah diri bukan untuk di lokap bukan untuk ditangkap.

“Tetapi, untuk di bawa ke klinik bagi menjaga keselamatan mereka dan juga keluarga mereka,” katanya dalam pengumuman khas selepas mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Ketika ditanya apakah nasihat kepada pendatang asing tanpa izin yang turut menyertai perhimpunan tersebut, Ismail membalas mereka tidak akan ditangkap.

“Jangan takut. Anggota tabligh yang bukan terdiri daripada rakyat malaysia yang terdiri daripada pendatang-pendatang asing, mungkin mereka menyorok kerana tidak ada dokumen-dokumen perjalanan.

“Saya nak beritahu kita sudah berbincang dengan pihak IGP (Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador) tadi bahawa walaupun mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan, Rohingya sekali pun yang penting mereka juga perlu keluar dan tak perlu takut dari segi dokumen perjalanan.

“Kita tidak fokus kepada dokumen perjalanan mereka tetapi fokus kepada sama ada mereka ini bersih daripada covid-19,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa kerajaan sedang mengesan kira-kira 2,000 peserta Rohingya yang menghadiri perhimpunan Tabligh.

Difahamkan ramai yang takut untuk tampil kerana bimbang berdepan masalah dengan pihak berkuasa kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Sementara itu, MP Bera juga mengingatkan risiko penyebaran Covid-19 bukan sahaja tinggi di kalangan peserta Tabligh sahaja tetapi turut melibatkan ahli keluarga mereka.

“Saya sekali lagi menyeru peserta termasuk keluarga kerana kematian yang berlaku di Sarawak kalau tak silap saya, adalah bukan sahaja anggota Tabligh yang terlibat tetapi juga keluarganya.

“Jadi bermakna bukan sahaja anggota Tabligh dalam perhimpunan tersebut yang risikonya tinggi tetapi juga keluarga mempunyai risiko yang tinggi.

“Pihak polis, sudah kesan lebih 8,800. Saya harap mereka tampil kerana pihak polis telah pun mengenal pasti mereka dan ada kemungkinan bahawa pihak polis akan mencari mereka, di rumah dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *