KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bertekad menyelesaikan isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam tempoh enam bulan ini.
Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkata, isu berkaitan MA63 adalah tugasan pertamanya apabila dilantik memegang portfolio berkenaan dalam Kabinet Persekutuan.
“Kita ingin meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama taraf dengan Semenanjung, meletakkan MA63 di bawah Perlembagaan Persekutuan sebelum membuat pindaan lanjut kepada Perlembagaan.
“Kerajaan terdahulu cuba mengubah Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan tetapi gagal dan saya berharap tugas saya mengenai MA63 ini dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan,” katanya.
Maximus memaklumkan, dalam proses penelitian perkara-perkara yang terkandung dalam MA63 sebelum ini, daripada 21 isu yang dikemukan, hanya tujuh perkara dipersetujui.
Beliau yang ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, lewat petang semalam, juga mahu menangani beberapa isu lain, iaitu isu pendatang asing tanpa izin ( PATI), dokumentasi kewarganegaraan dan juga pengumpulan pendapatan kutipan 40 peratus untuk Sabah dan Sarawak.
“Saya juga akan mengambil peranan menyelaras semua projek di Sabah dan Sarawak. Rakyat Sabah dan Sarawak juga mahukan pembangunan seimbang yang setanding dengan Semenanjung.
“Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) memberitahu, untuk menangani masalah terbabit, kementerian perlu membuat senarai mengenainya, kemudian kami ambil tindakan berdasarkan undang-undang atau MA63 untuk penyelesaian jangka pendek atau panjang,” katanya.
Maximus berkata, penyelesaian terhadap semua itu terbabit akan dapat meleraikan perkara yang tidak menggembirakan, masalah dan kekusutan dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak, seterusnya membantu memupuk perpaduan dan mengukuhkan negara.
“Portfolio saya bukan hanya berfungsi sebagai Biro Pengaduan Awam tanpa penyelesaian masalah. Apabila saya mengambil tugas terbabit, saya memberitahu Muhyiddin bahawa portfolio ini tidak seharusnya hanya Biro Pengaduan Awam. Ia harus berfungsi sebagai penyelesai masalah,” katanya. – Berita Harian