125 Jemaah Tabligh Sandakan Telah Buat Saringan COVID-19

Pusat pemeriksaan untuk PUI yang disediakan di HDOK.

SANDAKAN: Seramai 125 jemaah tabligh dari Sandakan yang menghadiri ijtimak di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur dari 25 Februari hingga 5 Mac diminta membuat saringan COVID-19 agar penilaian boleh dibuat berdasarkan keputusan saringan mereka.

Pengarah Hospital Duchess of Kent (HDOK) Dr Francis Paul berkata penilaian itu akan menentukan sama ada mereka perlu pergi ke hospital untuk pemeriksaan.

“Kami juga meminta mereka yang terlibat yang mempunyai gejala COVID-19 untuk datang ke hospital segera untuk pemeriksaan.

“Sekiranya mereka tidak mengalami sebarang gejala, mereka harus mengamalkan pengasingan sosial selama 14 hari dari hari mereka menghadiri perhimpunan itu,” katanya.

Peserta tabligh yang terlibat juga diminta untuk mengisi borang lain untuk rekod Kementerian Kesihatan dan HDOK, dan mereka akan diberi penerangan mengenai keperluan untuk kuarantin diri selama 14 hari.

Sementara itu, HDOK telah menubuhkan pusat pemeriksaan bagi kes-kes pesakit di bawah siasatan (PUI).

Sebuah khemah disediakan untuk pusat itu sejak Rabu, dan Paul berkata bahawa jumlah kes PUI di HDOK dinamik dan tidak dapat disahkan.

“Pusat ini ditubuhkan untuk kes-kes PUI.  Kami kini dalam langkah berjaga-jaga dan bersedia menerima mana-mana kes PUI,” katanya.

Sebelum itu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menggesa peserta yang terlibat dengan Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling untuk tampil memberi kerjasama dengan menjalankan saringan kesihatan bagi jangkitan COVID-19.

Gesaan itu dibuat ekoran daripada kes positif COVID-19 salah seorang peserta dari Brunei yang turut menghadiri ijtimak tabligh berkenaan.

Pihak media telah cuba menghubungi beberapa peserta ijtimak tabligh dari daerah ini namun tidak berhasil dan terdapat juga peserta mematikan telefon selepas dihubungi. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *