TAWAU: Pejabat Kesihatan Tawau menafikan terdapat kes kematian disebabkan wabak Covid-19 di Hospital Besar Tawau (HBT) seperti yang tular di WhatsApp hari ini.
Pegawai Kesihatan Tawau, Dr G Navindran berkata, maklumat terbabit tidak benar dan meminta orang awam tidak menyebarkannya bagi mengelak wujud panik dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, seorang pesakit berusia 58 tahun yang disyaki mengalami simptom wabak Covid-19 masih dirawat dan dikuarantin di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital berkenaan.
“Pesakit yang didakwa meninggal itu adalah pesakit lain yang kebetulan berada di wad yang sama di ICU,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu, tular satu mesej menerusi aplikasi WhatsApp hari ini yang mendakwa terdapat kematian pertama di HBT akibat Covid-19.
Katanya, tindakan individu tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu mengenai Covid-19 yang belum dipastikan kesahihannya turut diselar.
“Tindakan itu hanya memburukkan lagi keadaan sehingga menimbulkan kegusaran ahli keluarga mangsa dan penduduk setempat,” katanya.
HBT semalam mengambil langkah proaktif dengan mengaktifkan ‘fever center’ sebagai langkah berjaga-jaga dalam mengekang penularan wabak Covid-19.
Bagaimanapun, setakat ini tidak ada individu yang disahkan positif dengan wabak itu. – Harian Metro