Shafie Kesal Cadangan BERSATU Sabah Kembalikan Kuasa Kepada Persekutuan

Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal kesal dengan tindakan pemimpin politik di negeri ini yang menyuarakan hasrat supaya kerajaan negeri mengembalikan kuasa kepada kerajaan Persekutuan.

Beliau melihat cadangan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah untuk mewujudkan kembali Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) sebagai hasrat yang sama untuk penurunan kuasa.

Menurutnya, perkara membabitkan tuntutan kuasa yang perlu diberikan kepada kerajaan negeri sudah lama dibincangkan.

Sehubungan itu, beliau kesal apabila ada pandangan dan pendapat daripada pimpinan di negeri ini yang menyuarakan hasrat supaya Sabah mengembalikan kuasa kepada Persekutuan.

“Saya kesal dan bimbang dengan keadaan ini dan berharap rakyat menyedari hakikat apa yang berlaku hari ini.

“Kita juga sedar cadangan mewujudkan kembali JPPS bukan perkara yang dimahukan rakyat tetapi penurunan kuasa yang mereka mahu sejak pilihan raya umum (PRU) yang lepas,” katanya kepada media selepas merasmikan Perbincangan Meja Bulat Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di sini.

Shafie berkata, kerajaan yang dipimpin oleh Parti Warisan Sabah (WARISAN) sejak awal lagi bekerja keras untuk mendapatkan semula hak Sabah dari kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, pihaknya kekal dengan pendirian berkenaan dan akan terus berpendirian yang sama bagi mendapatkan hak Sabah terutama dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dekat di hati rakyat negeri ini.

“Sehubungan itu, sebagai orang Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor tidak sepatutnya mencadangkan supaya JPPS diwujudkan kembali kerana ia sama seperti memberi lebih banyak hak-hak Sabah ke tangan pihak lain.

“Sebagai orang Sabah, beliau harus tahu apa yang dekat di hati rakyat Sabah. Sebaliknya, beliau pula mencadangkan untuk memberikan hak Sabah kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor sebelum ini mencadangkan agar JPPS diwujudkan kembali memandangkan kerajaan negeri kini berstatus pembangkang.

Beliau berkata, cadangan berkenaan dianggap wajar sebagai platform mewakili kerajaan Persekutuan di Sabah.

Sumber: Utusan Borneo

5645