Lelaki ‘Tempah’ Maut Dalam Tasik Ais

Clark hampir maut ketika berenang di dalam tasik ais.- Foto Agensi

Seorang personaliti TikTok hampir maut akibat sesak nafas ketika berenang di dalam tasik dipenuhi ais di Utah, Amerika Syarikat.

Gulf News melaporkan kisah itu tular selepas Jason Clark berkongsi video yang dimuat naik di Instagram pada 24 Februari lalu.

Menerusi rakaman video berkenaan, Clark dilihat berenang di dalam tasik sebelum mengalami kesukaran bernafas yang menyebabkannya berpatah balik dan berhenti melakukan cubaan itu.

Aksi Clark sempat dirakam seorang wanita dan meraih lebih 217,000 tontonan sejak dimuat naik di Instagram.

“Saya tidak pernah berasakan kematian itu sangat dekat. Malah, saya benar-benar sesak nafas ketika itu.

“Pemandangan saya kabur hingga tidak nampak keadaan sekeliling ketika itu,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Sekalipun berdepan detik cemas, Clark tidak berputus asa dan membuat cubaan buat kali kedua selepas itu.

Apa yang berlaku menarik perhatian pengikutnya dan mereka meminta Clark tidak mengulangi aksi itu.

Seorang pengikut @hookipablue meninggalkan komen ‘Tolong jangan lakukan sesuatu yang boleh membahayakan nyawa hanya untuk mendapat pengikut’.

Seorang lagi pengikut mila_beauty merayu supaya Clark tidak lagi melakukan aksi berkenaan lagi kerana bimbang jika ada pengikut meniru tindakannya itu. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *