KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) konsisten dengan keputusan menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk terus mentadbir negara.
Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, UPKO bertekad untuk mempertahankan mandat yang diberikan rakyat dalam pilihan raya umum lalu.
“Pagi tadi saya telah mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi UPKO di Ibu pejabat UPKO untuk membuat pendirian berkenaan krisis kepimpinan Kerajaan Persekutuan. UPKO tidak mahu pergolakan ini berterusan lebih lama.
“Mesyuarat mengambil maklum bahawa UPKO konsisten, selari dengan keputusan kami pada 10 Mei 2018, sehari selepas pilihan raya umum ke-14, di mana UPKO meninggalkan Barisan Nasional dan bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) serta Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan campuran Sabah yang baru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, Majlis Tertinggi UPKO sebulat suara menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad agar terus menerajui kerajaan untuk mempertahankan mandat yang diberikan kepada PH oleh majoriti rakyat Malaysia dalam PRU14.
Sumber: BorneoToday