WARISAN Tolak Kerjasama Dengan Parti Terlibat Rasuah

Darell Leiking

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Darell Leiking tidak menyokong idea untuk bekerjasama dengan kerajaan korupsi yang telah dikalahkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Beliau menegaskan idea untuk bekerjasama  semula dengan kerajaan rasuah itu adalah sesuatu yang tidak akan diterima atau dipertimbangkan.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah tumbang selepas lebih 60 tahun memerintah. Ini dapat dilakukan kerana rakyat dan pemimpin pembangkang pada masa itu, Pakatan Harapan dengan kerjasama Warisan berjaya menumbangkan BN,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

LORETTO PADUA

Menurutnya, PH merupakan kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat jadi berikan kepercayaan kepada PH dan Warisan untuk berkhidmat untuk rakyat.

Sementara itu, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Junior berkata, Warisan konsisten dengan pendirian parti itu sejak hari pertama lagi dalam menyokong kepimpinan Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, Warisan tidak akan sesekali membelot sokongan rakyat yang telah menolak BN dalam pilihan raya umun lalu.

Kenyataan itu dibuat kedua-dua pemimpin berikutan tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ingin bekerjasama dengan UMNO, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam satu pakatan politik baharu.

Muhyiddin yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri kelapan berkata, beliau kini mengetuai Perikatan Nasional ke Istana Negara untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Kami semua dari Perikatan Nasional, semua orang yang anda lihat di sini, akan pergi ke Istana Negara dengan dokumen ini yang kami bawa.

“Hasrat kami adalah untuk melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan negara daripada keadaan yang sedang berlaku sekarang,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *