KOTA KINABALU: Rakyat yang seharusnya menentukan siapa yang mereka pilih menjadi kerajaan dan ia harus dibuat dengan membubarkan Parlimen.
Presiden Parti Solidariti Tanahairku Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dalam kenyataannya hari ini berkata, pembubaran Parlimen adalah penyelesaian kemelut politik yang berlaku sekarang.
“Biar rakyat tentukan siapa yang mereka mahu sebagai kerajaan dan perdana menteri mereka. Apa pun penyelesaian kini ia hanya menyelesaikan kemelut politik semasa dan tidak mungkin dapat memuaskan hati semua pihak terutama rakyat.
“Penyelesaian interim hanya untuk memberi jalan dan bersedia untuk sebuah penyelesaian muktamad,”katanya.
Jeffry berkata, Yang Di-Pertuan Agong harus diberikan ruang untuk melakukan kerja baginda bagi menentukan siapa yang patut diberi tanggungjawab untuk peralihan ini.
Bagaiamanapun, beliau menegaskan Sabah dan Sarawak juga perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian itu
“Apa pun penyelesaiannya, kemasukan Sabah dan Sarawak mesti menjadi keutamaan. Tidak perlu diingatkan bahawa Sabah dan Sarawak adalah rakan kongsi yang sama dengan Malaya dalam pembentukan Malaysia dan tanpanya, tidak ada Malaysia.
“Bagi rakyat Sabah dan Sarawak, kemelut politik yang berterusan ini menunjukkan betapa pentingnya mereka memilih anggota Parlimen yang benar-benar menjaga kepentingan mereka dan bukan yang terikat dengan sesebuah parti terutamanya yang bukan parti tempatan,” katanya.
Sumber: Berita Harian