BERSATU Sabah Sokong Tun Mahathir Sebagai PM Ke-8

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

KOTA KINABALU: Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah menyokong penuh Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus menerajui negara sebagai Perdana Menteri Malaysia ke lapan.

Ketuanya, Datuk Hajiji Noor, berkata khidmat dan kepimpinan Dr Mahathir amat diperlukan oleh negara bagi meneruskan agenda pembangunan yang sudah dirancang, di samping mengurus ekonomi negara dengan baik.

“BERSATU Sabah menyokong penuh Dr Mahathir dilantik menjadi PM Malaysia ke-8 bagi menyatupadukan rakyat, mewujudkan kerajaan yang stabil dan meneruskan agenda pembangunan negara.

“Yang lebih penting sekarang ialah negara memerlukan Dr Mahathir untuk mengurus dan memulihkan ekonomi kita yang agak suram sekarang, berikutan kemelut politik negara dan penularan wabak Coronavirus (COVID-19)”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, berkata negara memerlukan seorang pemimpin seperti Dr Mahathir bagi mengurus dan meletakkan ekonomi negara di landasan yang betul bagi mendepani cabaran kemelesetan ekonomi global.

“BERSATU Sabah menaruh sepenuh kepercayaan kepada Dr Mahathir dan yakin beliau sajalah yang dapat membentuk kembali Kerajaan baharu stabil dengan pengurusan ekonomi negara yang baik demi kesejahteraan rakyat jelata”, katanya dalam kenyataan beliau hari ini.

SumbeR: Berita Harian

934