Fasa Kerajaan Minoriti Memerintah, Kabinet Sebagai Kerajaan Sementara

Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri), Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – Foto NSTP

Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan) Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik UTM

Satu ayat mudah untuk menggambarkan situasi negara dalam keadaan sekarang adalah kerajaan minoriti sedang memerintah.

Ia susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, selain tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) keluar daripada Pakatan Harapan (PH), manakala beberapa pemimpin PKR turut dipecat dan keluar parti.

Apabila berlakunya perpecahan gabungan parti kerajaan, bermakna wujud situasi yang boleh kita katakan kerajaan memerintah hilang sokongan majoriti.

Apabila Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, maka wujud kekosongan dan ia tidak boleh diganti secara automatik oleh Timbalan Perdana Menteri.

Ini kerana dalam keadaan sekarang Perdana Menteri meletakkan jawatan secara mengejut di bawah pentadbiran kerajaan minoriti. Ini berbeza dengan situasi peralihan kuasa sebelum ini yang menyaksikan kerajaan mendapat sokongan majoriti yang kukuh, tiada parti keluar daripada gabungan parti pemerintah dan tidak timbul pertikaian siapa yang akan menggantikan Perdana Menteri.

Dalam situasi sekarang, Perdana Menteri sudah meletakkan jawatan dan pengganti tidak boleh dilantik menggantikannya kecuali mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dengan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Ketika ini, YDPA bertindak seolah-olah penggal Dewan Rakyat sudah berakhir dan siapa yang mendapat kepercayaan majoriti dengan kuasa budi bicara baginda boleh dilantik sebagai Perdana Menteri.

Berdasarkan Perkara 40 Fasal 2 (A) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, “Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri; (b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen; (c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini”.

Peruntukan ini adalah jelas memberikan kuasa kepada YDPA. Namun, cara bagaimana menentukan kepercayaan majoriti itu tidak dinyatakan. Secara tradisi nama dicadangkan untuk jawatan Perdana Menteri daripada gabungan parti utama yang menang pilihan raya.

Dalam situasi terkini, YDPA boleh menggunakan pendekatan perakuan langsung dari ahli Dewan Rakyat yang mana memanggil ahli Parlimen untuk menanyakan sokongan mereka terhadap calon Perdana Menteri.

Kaedah ini berlaku sewaktu krisis pemerintahan di Perak selepas Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, hilang sokongan majoriti, yang mana Almarhum Sultan Perak ketika itu menerima mengadap seorang demi seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengetahui sokongan majoriti diterima. Kaedah ini boleh diguna pakai.

Kaedah lain adalah menerima dokumen bertulis, termasuk akuan bersumpah (SD) atau dokumen sesuai. Semuanya bergantung kepada perkenan dan kebijaksanaan YDPA.

Berdasarkan konsep tanggungjawab kolektif, Kabinet adalah satu entiti dan institusi yang dilantik melalui kedudukan Perdana Menteri yang berkuasa. Maka, secara teknikalnya Kabinet sudah tidak berfungsi.

Berdasarkan keperluan semasa, sebagaimana situasi selepas pembubaran Parlimen, Kabinet masih boleh berfungsi sementara dan mereka tidak perlu meletak jawatan atas kepentingan awam supaya tidak berlaku ruang vakum atau pun kekosongan dalam pentadbiran negara.

Keputusan BERSATU keluar daripada PH sudah tentu memberi kesan kepada perubahan tampuk kepemimpinan di beberapa negeri seperti di Selangor, Melaka, Johor, Perak dan Negeri Sembilan.

Kesannya kali ini agak besar kepada politik dan ini kali pertama menyaksikan parti kerajaan hilang sokongan majoriti ketika sedang memerintah.

Untuk negeri berkenaan, tidak ada peletakan jawatan, maka situasi mungkin berbeza dengan Persekutuan.

Setakat ini, tiada permohonan pembubaran Dewan Undangan negeri (DUN), maka kemungkinan besar tiada akan berlaku pilihan raya.

Seperti situasi dialami Kerajaan Persekutuan, jika tiada peletakan jawatan, Menteri Besar masih memegang jawatan tetapi barisan kepemimpinannya berlaku pengurangan sokongan kerajaan.

Maka, kerajaan negeri yang disebut tadi menjadi kerajaan minoriti sehingga mendapat sokongan dari ADUN lain untuk menjadi kerajaan majoriti.

Menteri Besar boleh memohon DUN dibubarkan dan ia bergantung kelulusan Sultan, Raja mahu pun Yang di-Pertua Negeri.

Dalam waktu sekarang, Kabinet sedia ada berfungsi sebagai kerajaan sementara dan menteri tidak perlu meletakkan jawatan tetapi perlu berfungsi sementara untuk kepentingan awam dan menjalankan tugas masing-masing tidak melampaui batas konvensyen mengenai kerajaan sementara.

Kerajaan sementara ini boleh diketuai Timbalan Perdana Menteri dan beliau juga boleh menjalankan kuasa Perdana Menteri, tetapi kuasanya sangat terhad untuk kepentingan negara semata-mata bagi menyelesaikan urusan terdesak, amalan harian pentadbiran.

Sumber: Berita Harian

1285