Tun M Selesai Menghadap Yang Di-Pertuan Agong

Dr Mahathir keluar dari pintu utama Istana Negara jam 6.19 petang. Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, sebentar tadi.

Proton Perdana yang membawa Ahli Parlimen Langkawi itu dilihat keluar dari pintu utama Istana Negara jam 6.19 petang.

Beliau sempat melambaikan tangan sambil tersenyum ke arah petugas media yang menunggunya di luar pintu utama.

Dr Mahathir menghadap Yang di-Pertuan Agong selama lebih satu jam dipercayai bagi menerangkan mengenai peletakan jawatannya selain perkembangan terkini Pakatan Harapan (PH) selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak lagi bersama PH.

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghadap Yang di-Pertuan Agong petang tadi.

Kedua-dua mereka menghadap Yang di-Pertuan Agong selama kira-kira 40 minit sebelum dilihat keluar jam 3.15 petang.

Difahamkan, semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PAS juga akan ke Istana Negara petang ini bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sumber: Harian Metro

1344