5 Rumah, 5 Kereta & 3 Motosikal Musnah Dalam Kebakaran

Anggota bomba berusaha memadam api dalam kebakaran di Taman Mutiara, Foh Sang, Kota Kinabalu – Foto Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Lima rumah teres setingkat, lima kereta dan tiga motosikal musnah dalam kebakaran di Taman Mutiara, Foh Sang, Kota Kinabalu, malam tadi.

Dalam kejadian 9.25 malam itu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan selepas semua penghuni sempat menyelamatkan diri.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.30 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, operasi memadam kebakaran itu dibantu anggota dari BBP Lintas dengan jumlah keseluruhan anggota dan pegawai seramai 30 orang.

“Lima rumah itu terbakar dan tiga daripadanya musnah sepenuhnya manakala dua lagi terbakar 70 dan 40 peratus.

“Turut musnah dalam kebakaran itu, lima kereta dan tiga motosikal,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, api berjaya dikawal daripada merebak pada 10.02 malam sebelum operasi tamat sepenuhnya pada 12.57 tengah malam.

Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Sumber: Berita Harian

1846