KUALA LUMPUR: Episod menarik mewarnai senario politik tanah air apabila beberapa parti politik mengadakan pertemuan ‘rahsia’ di beberapa lokasi di ibu negara dipercayai ada kaitan dengan perkembangan pembentukan kerajaan baharu.
Di Menara Yayasan Selangor, di Petaling Jaya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan bersama pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seawal jam 9 pagi.
Turut hadir Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pimpinan parti yang lain.
Beliau meninggalkan bangunan berkenaan jam 3 petang dan tidak memberi sebarang kenyataan kepada media.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti berkenaan di sebuah hotel di Petaling Jaya, petang ini.
Kelibat Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin, Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon juga turut kelihatan di hotel berkenaan.
Desas desus mengenai perubahan di dalam gabungan kerajaan juga timbul selepas Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang pada awalnya menyertai pertemuan bersama Dr Mahathir di Yayasan Selangor turut berada di hotel di mana Mohamed Azmin dan pimpinan lain bertemu.
Sumber dalaman memberitahu Harian Metro, semua mesyuarat berkenaan terarah kepada pembentukan gabungan baru dalam masa terdekat membabitkan kerjasama Bersatu, UMNO, PAS, serpihan PKR serta GPS.
Ia susulan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dipengerusikan Dr Mahathir Jumaat lalu yang dikatakan menyentuh mengenai peralihan kuasa Perdana Menteri.
Sumber: Harian Metro