SEMPORNA: Kerajaan seharusnya memberi fokus kepada proses pemulihan ekonomi berbanding proses peralihan tampuk kepimpinan negara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Majlis Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk tidak menetapkan tarikh peralihan kuasa daripada Pengerusi Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
“Adalah penting memberi peluang kepada Tun untuk mengutamakan pentadbiran negara.
“Dalam hal ini, peralihan (kuasa) bukan keutamaan, sebaliknya rakyat mahukan kehidupan mereka dapat ditambah baik berbanding sebelum ini,” katanya kepada media, hari ini.
Tambah Mohd. Shafie, negara harus fokus kepada pemulihan ekonomi termasuk penyediaan peluang pekerjaan dalam berdepan situasi yang semakin mencabar.
“Kita sedia maklum bahawa bukan mudah membawa perubahan ketika zaman peralihan tampuk kepimpinan.
“Indonesia misalnya, apabila berlaku peralihan kuasa dari kerajaan lama kepada baharu, ia akan mengambil masa untuk proses pengurusan dan penyesuaian baik di peringkat pentadbiran, kakitangan kerajaan serta dasar pemerintahan,” katanya.
Tambahnya, keutamaan rakyat adalah lebih kepada penambahbaikan hidup mereka, sumber pendapatan dan peluang kerja, yang seharusnya menjadi tumpuan kerajaan.
“Di Sabah, kita bukanlah gabungan (bersama PH) tetapi lebih kepada kerjasama bersama PH dalam urusan pentadbiran negara.
“Malah, kita juga sudah membantu PKR, DAP dan Bersatu untuk menjadi kerajaan di peringkat pusat dan negeri,” katanya.
Menurut Mohd. Shafie, pihaknya lebih melihat bagaimana pentingnya bagi Sabah dan Sarawak menjalin hubungan baik dengan kerajaan pusat.
“Sudah tentu apabila adanya kerjasama, maka pelan pembangunan negara lebih mudah direalisasikan,” katanya.
Semalam, Dr. Mahathir menjelaskan keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Presiden PH.
Tambahnya, peralihan kuasa akan dilakukan selepas Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik pada November nanti, namun tiada penetapan tarikh dilakukan.
Sumber: BorneoToday