Peralihan Kuasa: Terpulang Pada Saya Untuk Melepaskan Ataupun Tidak – Tun M

PUTRAJAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa terpulang kepada beliau untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri atau pun sebaliknya.

Menurut beliau, setakat ini peralihan kuasa akan berlaku seperti mana ditetapkan selepas penganjuran Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

“Saya telah katakan bahawa peralihan kuasa berlaku lepas APEC. Tiada masa, tiada tarikh (ditetapkan).

“Terpulang pada saya untuk melepaskan ataupun tidak,” demikian katanya, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH, di sini, malam ini.

Turut hadir barisan pimpinan utama PH iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Selain enam pemimpin terbabit, Mesyuarat Majlis Presiden turut dihadiri 19 pemimpin parti komponen masing-masing.

Terdahulu, isu peralihan kuasa dijangka dibincangkan dan dimuktamadkan dalam mesyuarat tersebut seperti mana dimaklumkan Anwar selepas pertemuan dengan Dr Mahathir pada 13 Februari lalu.

Dr Mahathir sebelum ini mengulangi janjinya untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas penganjuran Kerjasama Ekonomi Asia (APEC) 2020 pada November depan.

Sumber: Awani

920