KOTA KINABALU: Beberapa pekerja bengkel lori dekat Pelabuhan Sepanggar di Kota Kinabalu, gempar dengan penemuan cebisan tiga kaki kanak-kanak, semalam.
Penemuan cebisan kaki itu disedari pekerja di bengkel berkenaan apabila melihat beberapa anjing menggonggong sesuatu.
Curiga dengan gelagat anjing itu, beberapa pekerja mendekati dan terkejut apabila mendapati haiwan itu menggonggong kaki manusia lalu memaklumkan kepada majikan sebelum menghubungi polis pada 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, bertindak atas aduan itu, anggota polis ke lokasi kejadian untuk siasatan dan pemeriksaan lanjut.
“Anggota bertugas mendapati ia cebisan tiga kaki manusia dipercayai milik dua kanak-kanak berusia dua hingga tiga tahun.
“Tiada kesan kena potong dan hanya kesan gigitan dipercayai gigitan haiwan liar,” ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Habibi berkata, pemeriksaan lanjut berhampiran lokasi penemuan cebisan kaki itu tidak menemui bahagian badan manusia lain.
“Timbul tanda tanya sama ada ia milik kanak-kanak hilang atau kanak-kanak yang dikebumikan di kubur berdekatan dan dikhuatiri digali anjing.
“Siasatan masih dijalankan dengan bantuan forensik termasuk Unit K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah,” katanya.
Difahamkan terdapat penempatan setinggan dan dua tanah perkuburan kira-kira dua dan empat kilometer dari kawasan penemuan cebisan kaki kanak-kanak itu.
Sehubungan itu, Habibi meminta orang ramai yang tinggal lokasi berhampiran sekiranya kehilangan anak atau pernah mengebumikan jenazah kanak-kanak supaya memaklumkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Polis melakukan siasatan dari semua aspek. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
sumber: Harian Metro