TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan seorang lelaki tempatan disyaki menyeludup 12 tong gas dan tiga pendatang tanpa izin (PTI) dalam dua tangkapan berasingan di perairan Tanjung Batu dan kawasan jeti PPM, di sini semalam.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, tangkapan pertama dibuat semasa enam anggotanya menjalankan Ops Landai menggunakan bot samaran dan mendapati sebuah bot jongkong dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan Tanjung Batu pada jam 2.50 petang.
“Anggota kita kemudian bertindak menahan bot terbabit dan semasa pemeriksaan dilakukan terdapat seorang juragan, 19, warga tempatan di dalam bot terbabit.
“Hasil pemeriksaan lanjut, pihak kita menemukan 12 tong gas disembunyikan di bawah longgokan barang runcit di dalam bot terbabit dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurutnya, suspek dan barang rampasan termasuk bot dibawa ke Pangkalan PPM Tawau dan nilai rampasan dianggaran RM48,160.
Butir-butir tangkapan dan rampasan salinan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat KPDNHEP untuk tindakan lanjut.
Dalam operasi berlainan, pihaknya turut menahan sebuah bot semasa anggota PPM menggunakan botronda PGR 16 menjalankan tugas Op Gelora pada jam 10 pagi di kawasan jeti PPM.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga lelaki dewasa berumur 21 hingga 42 tahun warga asing di dalam bot terbabit dan setelah pemeriksaan dokumen dilakukan ketiga-tiga suspek gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah untuk masuk ke dalam negara Malaysia,” katanya.
Sumber: Utusan Borneo