50 Menara Telekomunikasi Dibina Di Sabah dalam Projek NFCP 1

KOTA KINABALU, 19 Feb: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membina sebanyak 50 menara telekomunikasi di seluruh Sabah dalam fasa pertama projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP 1) yang bermula awal bulan ini.

Pengarah SKMM Sabah dan Labuan Roslan Mohamad berkata kesemua menara telekomunikasi berkenaan dijangka beroperasi awal tahun depan.

“Edotco Malaysia Sdn Bhd (Edotco) dan FGV Prodata Systems Sdn Bhd (Prodata) dianugerahkan bahagian pertama projek NFCP 1 dengan skop membekal, menyiap dan memasang menara serta sokongannya, bagi tujuan menyediakan perkhidmatan selular awam,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata 50 menara telekomunikasi berkenaan adalah tambahan bagi 516 menara dibawah inisiatif dana USP SKMM.

Menurutnya Sabah ialah negeri yang mendapat jumlah menara terbanyak dalam projek NFCP 1 iaitu 50 atau 33 peratus daripada 152 menara yang dipasang di seluruh negara.          

Roslan berkata 152 menara telekomunikasi yang dibina di seluruh negara bagi projek NFCP 1 merangkumi lapan negeri dengan 93 mukim iaitu Sabah (50 tapak); Pahang (28 tapak); Kelantan (18 tapak); Johor (13 tapak); Terengganu (13 tapak); Kedah (10 tapak); Negeri Sembilan (10 tapak) dan Perak (10 tapak).

“NFCP 1 adalah salah satu inisiatif berasaskan infrastruktur yang dikenal pasti selaras dengan NFCP, yang bertujuan memantapkan sambungan digital secara meluas, berkualiti tinggi dan mampu dimiliki,” katanya.

Katanya, projek itu bertujuan menyediakan perkhidmatan selular awam (perkhidmatan 3G dan 4G) di kawasan yang tidak mempunyai liputan atau liputan terhad.

“NFCP 1 akan meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar dengan menyediakan kelajuan purata 30Mbps,” katanya.            

BERNAMA

740