Singapura Umum Notis Jangan Keluar Rumah

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengumumkan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) bagi penduduk negara itu dan pemegang pas jangka panjang yang kembali ke Singapura dari tanah besar, China.

Berdasarkan sebahagian keperluan notis, mereka perlu berada di dalam rumah sepanjang masa selama 14 hari berkuat kuasa dari jam 11.59 malam (waktu tempatan) malam ini.

Notis ini juga turut terpakai kepada mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke China (di luar wilayah Hubei) baru-baru ini.

Menurut laporan Channel News Asia, notis itu adalah lebih ketat berbanding Cuti Ketidakhadiran (LOA), di mana mereka masih dibenarkan keluar rumah sebelum ini untuk membeli makanan atau barang keperluan.

Melalui perlaksanaan SHN, MOH berkata, kerajaan tidak akan lagi mengeluarkan LOA kepada mereka yang kembali ke Singapura.

“Majoriti di bawah rejim ini akan selesai menjalani LOA dalam beberapa hari lagi dan kami akan terus memastikan pematuhan mereka sepanjang tempoh itu.

“Bagi pekerja yang pulang dari tanah besar China, kami sudah meminta majikan mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Tenaga Kerja (MOM) sebelum mereka kembali ke Singapura.

”Jika majikan memerlukan bantuan, MOM akan menghubungkan mereka dengan pengusaha hotel atau asrama agar pekerja mereka boleh menjalani SHN,” kata MOH.

Menurut kementerian itu, pelaksanaan SHN adalah satu lagi langkah berjaga-jaga yang diambil bagi meminimumkan risiko tambahan kes import Covid-19.

Kerajaan berkata, mereka akan terus melaksanakan pengawasan dan penguatkuasaan untuk memastikan pematuhan terhadap SHN.

Terdapat juga sokongan bagi mereka yang memerlukan bantuan sepanjang tempoh SHN, misalnya mendapatkan akses kepada makanan dan keperluan harian yang lain.

Warganegara Singapura, penduduk tetap dan pemegang pas lawatan jangka panjang boleh mendapatkan bantuan daripada Persatuan Rakyat, pelajar daripada institusi atau Kementerian Pendidikan, manakala mereka yang memegang pas pekerja boleh mendapatkan bantuan melalui majikan atau MOM.

Sekiranya didapati melanggar SHN, warganegara Singapura dan penduduk tetap akan menghadapi pendakwaan mengikut Seksyen 21A Akta Penyakit Berjangkit termasuk pemegang pas jangka panjang yang boleh dibatalkan pas mereka.

Sumber : CNA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *