(VIDEO) Resort Di Pulau Mabul Musnah Dalam Kebakaran

Resort di Pulau Mabul terbakar dan pasukan bomba tidak dapat sampai ke lokasi ekoran cuaca tidak mengizinkan.

SEMPORNA : Sebuah bangunan resort di Pulau Mabul musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 5.35 petang, di sini semalam.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 5.40 petang menerusi talian di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna daripada orang awam. 

Beliau berkata, sejurus menerima panggilan tersebut, 11 anggota daripada Balai Bomba Atas Air Semporna yang diketuai PBK I Kadir Halalan bergerak menaiki Bot Kevelar ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, Pasukan Bomba menghadapi kesukaran untuk sampai ke lokasi kejadian disebabkan keadaan cuaca tidak mengizinkan dan terpaksa berpatah balik,” katanya.

Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah terpaksa menghubungi Maritim dan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) untuk mendapatkan bantuan aset laut yang bersesuaian untuk membawa pasukan bomba ke lokasi.

“Namun, keadaan angin kuat dan laut bergelora juga menyebabkan aset Maritim dan TLDM tidak dapat digerakkan untuk sampai ke lokasi kejadian,” katanya.

Mengulas lanjut, pengurus resort yang dihubungi PGO melaporkan kebakaran itu dipercayai bermula daripada sebuah bilik pekerja yang tidak digunakan seterusnya merebak memusnahkan lapan bilik dome, 10  rumah pekerja, kedai alat menyelam, restoran, bar, genset, bilik kompresor dan sebuah rumah kampung berhampiran.

“Kerja-kerja pemadaman hanya dilakukan oleh pekerja resort dengan menggunakan pam air diesel dan alat pemadam api serta terpaksa memutuskan jambatan resort untuk mengelakkan api terus merebak,” katanya.

Utusan Borneo difahamkan, setakat ini tidak ada sebarang kes kehilangan nyawa dilaporkan berlaku dalam kes kebakaran itu dan sehingga jam 12.50 tengah malam berita ini dilaporkan pihak bomba masih tidak boleh sampai ke lokasi kejadian ekoran cuaca tidak mengizinkan.

Pasukan Bomba masih dalam keadaan bersedia dan akan bergerak ke lokasi sekiranya keadaan cuaca mengizinkan dan maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

https://www.facebook.com/BESTAWAUFM/videos/2775347155893531/
https://www.facebook.com/pakejpulausemporna/videos/3787718651246176/

Sumber: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *