“Bunga, Terima Kasih Kerana Mencintai Anak Saya” – Bapa Ashraf Sinclair

Bunga Citra Lestari ditenteramkan oleh keluarga dan rakan-rakannya. – Gambar Kompas

JAKARTA: Ucapan ayah kepada Allahyarham Ashraf Sinclair, Mohamed Anthony John Sinclair sejurus berakhir pengebumian anaknya itu benar-benar menyentuh hati, lapor portal Kompas.

Mewakili keluarganya, Mohammed berterima kasih kepada semua yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada anaknya.

Dalam ucapan yang sama, Mohammed turut merakamkan penghargaan buat menantunya, Bunga Citra Lestari (BCL) yang pernah membina kehidupan sebagai isteri kepada Allahyarham Ashraf.

“Terima kasih buat kalian semua yang hadir, begitu banyak orang di sini. Bunga (BCL) terima kasih telah mencintai anak saya,” ucap ayah Ashraf disambut dengan esakan Bunga.

Sebelum ucapan Mohammed, suasana pilu menyelebungi Tanah Perkuburan San Diego Hills, Karawangan, Jawa Barat saat jenazah Allahyarham Ashraf disemadikan.

Tangisan anak tunggal Allahyarham Ashraf hasil perkahwinan dengan Bunga, Noah Aidan Sinclair turut meruntun hati kaum keluarga dan rakan-rakan yang menghadiri majlis pengebumian aktor berusia 40 tahun itu.

Ashraf menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi Selasa akibat serangan jantung.

Pemergian Ashraf ke negeri abadi mengejutkan seluruh peminat seni Malaysia dan Indonesia.

Sumber: Awani / Kompas.com

31839