‘Arwah Seorang Yang Cergas, Kuat’

Anggota PGA turut mengangkat Allahyarham Asman sebelum dikebumi di Tanah Perkuburan Baru Islam Batu 11, Sandakan.

SANDAKAN: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang meninggal dunia selepas menyelamatkan penumpang bot karam di perairan Sandakan Khamis lalu, disifatkan sebagai seorang peramah, ringan tulang dan memiliki fizikal yang cergas.

Pegawai Memerintah, Batalion 15 PGA Sandakan, Superintendan Toipi Lamat berkata, beliau sangat berbangga dengan Allahyarham Koperal Asman Ongkal, 40, kerana masih berupaya menyelamat mangsa yang terbabit dalam insiden bot karam berkenaan.

Menurutnya, dalam kejadian itu, arwah masih mampu menyelamat penumpang bot, terutama pelajar yang dikatakan terperangkap di dalam bot berkenaan.

Allahyarham Asman dikebumikan di Tanah Perkuburan Baru Islam Batu 11, Sandakan.

Katanya, saksi yang melihat kejadian ini memaklumkan, arwah menyelam dan menarik mangsa yang terperangkap di bawah atap bot yang tercabut lalu dinaikkan di atas bot awam di kawasan itu.

“Anggota ini (arwah) mempunyai fizikal yang kuat. Dia ‘fit’ (cergas) dan untuk makluman juga, arwah adalah bekas anggota Unit Tiger Platoon.

“Arwah turut terbabit dalam insiden pengganas di Tanduo, Lahad Datu pada 2013 dan dia adalah anggota komunikasi dalam Kompeni Alpha Batalion 15.

Allahyarham Asman dikebumikan di Tanah Perkuburan Baru Islam Batu 11, Sandakan.

“Sepanjang perkhidmatan arwah amat disenangi disebabkan dia ringan tulang dan mempunyai komitmen kerja yang baik.

“Seluruh masyarakat daerah ini memuji tindakan arwah yang menyelamat penumpang bot berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pengebumian Allahyarham Asman, hari ini.

Suasana sedih dan pilu menyelubungi upacara pengebumian Allahyarham petang tadi.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Baru Batu 11, Sandakan, 3.50 petang.

Dianggarkan kira-kira 500 saudara-mara dan rakan hadir di tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir.

Turut hadir Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Arifin Asgali, Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Dilantik, Jafari Waliam dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dewan Undangan Negeri Elopura, Jason Pang.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Datuk Hj Pangiran Galpam, Batu 7, selepas tiba dari Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) di Sandakan kira-kira 2 petang.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua orang anak.

Khamis lalu, bot dinaiki Allahyarham bersama 36 penumpang lagi dilaporkan bertembung sebuah bot yang sedang ditunda lalu karam.

Mangsa kemudiannya bertindak menyelam dan menyelamatkan beberapa penumpang lain sebelum dilaporkan hilang dan ditemui lemas.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *