Nenek 60 Tahun Edar Dadah Antara Ditahan Di Pekan Inanam

Antara individu yang ditahan dalam Ops Ice Breaker di pekan Inanam. – Foto Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Seorang nenek berusia 60 tahun yang dipercayai pengedar dadah kecil-kecilan ditahan polis dalam “Ops Ice Breaker”, petang semalam.

Dalam serbuan jam 2 petang itu, wanita warga asing berkenaan ditahan bersama lapan individu lain yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah di sekitar pekan Inanam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata hasil penahanan wanita warga emas itu, polis turut merampas 28 paket straw plastik yang berisi dadah jenis syabu.

“Wanita itu dipercayai pengedar dadah kecil-kecilan di kawasan pekan Inanam dan pemeriksaan polis menemui dadah seberat 5.4 gram yang dianggarkan bernilai RM800.

“Wanita itu juga didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya.

Habibi berkata, dalam operasi itu seramai 35 ditahan untuk pemeriksaan termasuk dua wanita. Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu untuk saringan air kencing dan lapan termasuk dua wanita positif dadah jenis syabu.

“Daripada lapan orang yang positif dadah, lima adalah warga tempatan manakala tiga bukan warga tempatan dan semua mereka berusia 19 hingga 52 tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(A) ADB 1952,” katanya.

Sumber: Harian Metro

13627