Mahkamah Tangguh Kes Rasuah Bung Mokhtar & Isteri

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan kes rasuah ahli parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette A Samad.

Penangguhan atas permintaan pihak pembelaan itu berikutan dokumen yang tidak mencukupi bagi meneruskan perbicaraan hari ini.

Menurut peguam yang mewakili Bung Mokhtar, K Kumaraendran, pihaknya telah meminta beberapa dokumen dari pihak pendakwa sebelum ini, namun ia hanya diberikan hari ini.Iklan

“Sebelum bermulanya kes (perbicaraan), kami meminta dokumen penting seperti minit lembaga pengarah, tetapi mereka tidak menyediakannya kepada kami. Kami telah ingatkan banyak kali.

“Seperti hari ini, mereka sediakan semua minit 152 hingga 160. Dokumen-dokumen ini sangat penting bagi kita.

“Sebab itu kita minta tangguh. Dan hakim juga soal mengapa pihak pendakwa lambat (kemukakan dokumen),” katanya kepada pemberita di luar mahkamah hari ini.

Bung Mokhtar, 60 dan Zizie Izette, 41, berdepan dengan tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh perbicaraan diteruskan pada 20 Feb, jam 9 pagi.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sumber: MalaysiaKini

1042