KOTA KINABALU: Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah bermula hari ini.
Zaini menggantikan Datuk Omar Mammah yang bersara wajib manakala jawatan Zaini sebelum ini diambil alih oleh setiausaha polis Malaysia, Urusetia Pejabat Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Mazli Mazlan.
Majlis terima dan serah tugas dijalankan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan tugas bekas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Sabah, Datin Diana Lee Dennis kepada Datin Hariah Mohd. Tahir.
Mazlan dalam ucapannya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Zaini di atas pelantikannya dan percaya beliau akan membantu meneruskan kecemerlangan polis Sabah sejajar dengan tuntutan pihak tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjamin keselamatan yang berterusan.
“Saya yakin dengan berbekalkan pengetahuan dan pengalaman yang ada, Zaini mampu menggemudi IPK Sabah bersama dengan gadingan Timbalan beliau iaitu Mazli.
“Saya berharap agar kecemerlangan legasi pemimpin terdahulu dapat diteruskan di samping memberi suntikan nafas baharu oleh barisan pimpinan terkini agar PDRM tetap ampuh sebagai sebuah pasukan disegani dan dihormati,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Datuk Omar Mammah atas kejayaan-kejayaan yang dilakarnya sepanjang menyandang tugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah selama lebih setahun.
Omar, yang berasal dari Semporna pernah memegang beberapa jawatan kanan dalam PDRM seperti Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sabah dan Timbalan Ketua Polis Perak. – BorneoToday