Bot Karam Sandakan: Moga Koperal Asman Ditemukan Selamat

Ruslina (kanan) menunggu berita berhubung suaminya (gambar kecil) berdekatan Jeti Pasar Umum Sandakan.

SANDAKAN: Isteri anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Koperal Asman Ongkal yang hilang dalam insiden bot karam di perairan berdekatan bandar Sandakan, sabar menunggu berita mengenai suaminya berdekatan Jeti Pasar Umum Sandakan.

Wanita itu turut ditemani beberapa ahli keluarganya di lokasi kejadian terbabit dan dia kelihatan sering menitiskan air mata.

Ruslina Salleh, 39, berkata sebelum kejadian dia berada di rumahnya di Kampung Tanjung Aru, pulau di sebarang Sandakan.

Menurutnya, dia menerima berita bot dinaiki suami dan anak lelakinya yang berusia 16 tahun itu karam pada 6.30 pagi.

“Sebaik dimaklumkan saya bergegas ke jeti ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, petugas media tidak dapat meneruskan temubual Ruslina kerana dia masih terkejut dan sedih dengan insiden menimpa suaminya itu.

Asman adalah antara penumpang bot yang membawa 37 penumpang dari Kampung Tanjung Aru (Pulau Seberang Bandar Sandakan) menuju ke Jeti Pasar Umum Sandakan yang karam 6.20 pagi tadi.

Difahamkan, bot dinaiki mangsa bertembung dengan sebuah bot yang sedang ditunda.

Operasi SAR membabitkan pelbagai agensi kini giat dijalankan dan memfokuskan lima batu nautika di perairan bandar Sandakan.- Harian Metro

8971