KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik kontroversi, Nur Sajat sedia bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menyelesaikan isu identiti dirinya melalui saluran rasmi selepas kontroversi yang tercetus ketika mengerjakan umrah baru-baru ini.
Menurutnya, dia mahu diberi panduan yang jelas dan terperinci bagi menyelesaikan isu identiti dirinya.
“Selama ini bukan saya tak mahu buat laporan perubatan seperti yang diminta, tetapi mereka (JAKIM) hanya suruh saya pergi ke hospital tanpa sebarang surat sokongan.
“Kalau betul JAKIM nak bantu, mereka sepatutnya mengeluarkan surat rasmi dan memaklumkan dengan siapa perlu saya rujuk.
“Kalau betul nak tolong, tolonglah betul-betul kalau tidak ia akan berpanjangan,” katanya kepada Harian Metro.
Sebelum ini, tindakan Sajat memakai telekung dan berpurdah ketika mengerjakan ibadat umrah dan berkongsi paparan menerusi media sosial menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Kontroversi itu menarik perhatian pelbagai pihak termasuk menteri dan mufti, malah mencetus kebimbangan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (Papuh) jika Arab Saudi menarik balik penggunaan visa pelancongan kepada jemaah Malaysia.
Menurut Sajat, dia pernah cuba menyelesaikan masalah berhubung identitinya dengan pihak berkuasa, bagaimanapun alasan diberi kesnya itu berprofil tinggi.
“Bukan saya tak cari jalan penyelesaian, setiap kali saya bawa isu ini ke pihak bertanggungjawab mereka memberitahu kes saya ini berprofil tinggi.
“Kalau diikutkan, ibu bapa saya sudah memberi kerjasama sebaik mungkin sejak saya dilahirkan.
“Namun, sekarang saya yang perlu menanggung semua ini sendirian. Saya juga pernah kena tipu,” katanya.
Dalam masa sama, Sajat turut memohon supaya isu identitinya diselesaikan sekarang selagi ibu bapanya masih hidup.
“Ibu bapa saya boleh mengesahkan siapa saya. Tiada orang lain,” katanya.
Mengenai dakwaan dia ditahan ketika berada di Tanah Suci, Sajat berkata, ibadat umrahnya lancar dan dia tidak didatangi pihak berkuasa termasuk polis sepanjang tercetusnya kontroversi itu.
“Di sana, saya sangat tenang menunaikan umrah bersama ibu, ayah dan anak-anak angkat. Kehadiran saya disambut baik dan semua urusan ibadat dipermudahkan.
“Saya sangat tenang dan bahagia di sana. Alhamdulillah, Allah permudahkan perjalanan pergi dan balik saya tanpa sebarang ujian berat.
“Saya juga berniat untuk menunaikan umrah setiap tahun selain ingin membawa stokis dan kakitangan pada masa depan,” katanya.
Namun, Sajat kesal tindakan segelintir individu yang didakwa merakam foto dua anak angkatnya tanpa kebenaran dan dimuat naik di laman sosial.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh dalam kenyataannya pada 3 Februari lalu dipetik berkata, JAKIM ada menawarkan bantuan kepada Sajat tetapi tidak mendapat kerjasama ahli perniagaan itu.
“JAKIM ada menawarkan diri untuk membuat kajian hormon iaitu membantu Sajat sama ada dia lebih cenderung kepada perempuan atau lelaki.
“Dari segi kelahiran yang tidak jelas, JAKIM juga boleh mengesahkan tetapi tidak dapat kerjasama daripada Sajat sendiri,” katanya. – Harian Metro