Suspek Kes Tembak Di Pulau Gaya Masih Diburu

Omar menandatangani buku pelawat Balai Polis Bongawan pada majlis perasmian itu.

PAPAR: Polis masih giat memburu suspek yang melepaskan tembakan sehingga mencederakan tiga individu termasuk dua kanak-kanak di jambatan Kampung Lok Urai Pulau Gaya pada 5 Februari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, pihaknya masih memburu suspek yang dipercayai masih bersembunyi di sekitar Pulau Gaya.

“Kita sudah mengenalpasti suspek dan lakaran wajah serta gambar suspek sudah diedarkan kepada orang ramai sebagai hebahan berkenaan kejadian.

“Mana-mana pihak yang mengesan atau melihat suspek diminta menyalurkan maklumat dengan kadar segera kepada pihak polis agar tindakan penangkapan dapat dilaksanakan,” katanya.

Suspek yang dikenalpasti sebagai Kacang @ Muding diburu polis selepas mencederakan tiga individu masing-masing berumur 40-an, 10 dan tujuh tahun yang terkena tembakan kira-kira lima hingga enam das yang dilepaskan suspek menggunakan senjata laras panjang.

Ketiga-tiga mangsa bagaimanapun berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Polis turut mengesahkan punca kejadian dipercayai disebabkan masalah peribadi antara suspek dan mangsa berikutan suspek mengeluarkan kata-kata berbunyi ‘keluar kau kalau berani’ sebelum melepaskan tembakan semasa berada di atas bot pam berhampiran jambatan kayu berkenaan.

Omar berkata demikian semasa merasmikan Balai Polis Bongawan di sini.

Dalam perasmian terbabit Omar menasihatkan orang ramai agar terus bekerjasama dengan pihak polis dalam memastikan kadar jenayah di sekitar Bongawan terus kekal terpelihara.

“Walaupun Balai Polis Bongawan hanya dikendalikan seramai 18 pegawai dan anggota, namun jumlah keanggotaan ini mampu mengekalkan tahap kesejahteraan serta keselamatan di daerah ini yang didiami 30,000 penduduk di 79 buah kampung.

“Sebagai contoh, kita mencatatkan indeks jenayah sifar pada hari ini dan membuktikan polis sentiasa memberikan perkhidmatan berterusan kepada masyarakat sekeliling di sini.

“Orang ramai diharapkan terus memberikan kerjasama berterusan kepada pihak polis dan tidak menyebarkan sebarang maklumat sebelum mendapatkan pengesahan daripada pihak polis,” katanya. – Utusan Borneo

593