MALANG, Indonesia: Skuad Tambadau tewas buat kali kedua dalam kejohanan jemputan Piala Gabenor Jawa Timur 2020, kali ini kepada Persija Jakarta 0-2 di Stadium Kanjuruhan di sini sebentar tadi.
Kekalahan ini menyaksikan peluang Sabah untuk mara ke pusingan seterusnya ini hampir tertutup dengan baki dua lagi perlawanan dalam Kumpulan B kejohanan jemputan ini.
Pada perlawanan itu, pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto dilihat melakukan perubahan formasi iaitu 4-4-2 berbanding 4-3-3 dalam beberapa aksi lalu.
Sabah memiliki dua peluang terbaik di babak pertama hasil dua cubaan Dennis Buschening, masing-masing pada minit ke-22 dan 26, namun kedua-duanya tidak menepati sasaran.
Pada minit ke-33 giliran Persija pula mencemaskan pintu gol Sabah namun penjaga gol, Wan Muhammahd Azraie Wan Teh bertindak cemerlang menepis keluar rembatan Alfath Faathier.
Skuad dari Jakarta itu kemudian berjaya mendahului Sabah pada minit ke-35 menerusi sepakan penalti Marco Simic bagi menjadikan kedudukan 1-0.
Sepakan penalti itu dihadiahkan keada Persija selepas bola hantaran silang pemain mereka terkena tangan Evan Wensley Wencesalus di dalam kotak penalti.
Bermula separuh masa kedua, kedua-dua pasukan masing-masing memiliki peluang namun Persija lebih dulu memanfaatkannya hasil penyudah baik Rohit Chand pada minit ke-52.
Gol itu berpunca hasil gerakan solo Simic yang menewaskan dua pertahanan sebelum membuat hantaran dan disudahkan dengan tenang oleh Rohit bagi menjadikan kedudukan 2-0.
Pada minit ke-60, Sabah hampir merapatkan jurang namun rembatan Arius Dius yang mendapat lorongan Ramos berjaya ditepis keluar penjaga gol Persija, Andritany Ardhiyasa.
Skuad Tambadau kemudian sekali lagi memcemaskan pintu gol Persija namun rembatan sepakan percuma Md Azwan Abd Fattah pada minit ke-65 hanya sedikit saja tersasar.
Pada minit ke-84, Simic memiliki peluang baik apabila hanya berdepan penjaga gol, namun cubaannya tinggi di atas palang gol.
Kedua-dua pasukan kemudian menggantikan beberapa pemain mereka namun gagal mengubah kedudukan dan kedudukan 2-0 itu kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.
Sumber: SabahNewsToday