Gaji Tukang Cuci Di Hospital Wuhan Kini Cecah RM21,000 Sebulan


Setiap hari, apabila membaca berita mengenai perkembangan terbaru koronavirus di China, hati Merak Jalanan terus diserang perasaan duka yang teramat.

Apa tidaknya, angka kematian mangsa penyakit yang masih belum ditemui vaksin itu bertambah setiap hari. Jumlah pesakit menunjukkan peningkatan secara mendadak. Ia bukan sahaja menular di bumi China, tetapi telah berjangkit ke seluruh dunia.

Untuk menghadapi virus yang begitu ditakuti itu, manusia di seluruh dunia tiba-tiba menjadi cemas dan takut. Semua orang mula mencari penutup mulut, sarung tangan dan pencuci tangan untuk elak diserang koronavirus.

Bagi syarikat pengeluar produk itu, mereka pasti tersenyum lebar kerana perniagaan mereka meningkat secara tiba-tiba. Begitu juga pemborong dan peniaga kerana tanpa disangka barang mereka laku disapu pelanggan.

Bencana bagi mereka ini sebenarnya bukan malapetaka, sebaliknya boleh kaut untung yang banyak dalam masa yang singkat!

Selain dalam bidang perniagaan, ada satu bidang kerja yang juga mampu memberikan orang kaya cepat, dengan syarat sanggup berani mati.

Gaji yang ditawarkan RMB35,000 (RM21,000) sebulan. Kerjanya sebagai tukang cuci di hospital Wuhan, China!

Ini bukan cerita rekaan tetapi inilah iklan jawatan kosong yang disiarkan dalam sebuah portal di China baru-baru ini. Jadi mahu nyawa atau nak duit? Terpulanglah kepada anda mahu menggadai nyawa atau tidak.

Namun apa yang lebih menarik perhatian kita adalah di sebalik musibah itu, ada golongan yang menjadi wira yang tidak didendang.

Kita perlu tabik kepada doktor dan pegawai perubatan yang sentiasa bersiap sedia mengubati ribuan pesakit yang disyaki dijangkiti koronavirus.

Mereka sebenarnya adalah di barisan paling depan dan golongan berani mati malah tak kisah penat dan wang ringgit.

Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *