2,000 Tetamu Iringi Perjalanan Akhir Abam Bocey

KUALA LUMPUR: Ketika hayatnya, Allahyarham Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, sering menggeletek hati dengan lawak jenaka dan muka selambanya.

Hari ini, nyata ramai menangisi pemergiannya. Lebih 2,000 orang ahli keluarga, rakan artis dan peminat hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada arwah yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, kira kira jam 7.20 malam ini.

Arwah menghembuskan nafas terakhir dipercayai akibat demam panas pagi tadi dimandi dan disembahyangkan di Masjid Gombak Utara pada jam 5.15 petang. Sebelum itu, proses pengesahan mati dilakukan di Hospital Selayang.

Disebabkan proses pengebumian selesai sekitar waktu Maghrib, tetamu yang hadir menunaikan solat secara berjemaah di tanah perkuburan berkenaan.

Sementara itu, perkongsian video memuatkan keletah anak lelaki arwah, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia sembilan bulan menarik perhatian netizen. Tak kurang ada yang begitu sayu dan simpati dengan nasib si kecil yang belum mengenal apa yang dilalui ibu dan keluarganya.

ACHEY menyiram air di pusara Abam di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak. NSTP/Asyraf Hamzah

Video yang dikongsi di Instagram rasmi Anugerah Bintang Popular BH iaitu @abpbh_32 itu mengundang sebak dan tangisan.

Ketika ini, usaha mendapatkan kenyataan isteri arwah Abam, Siti Nurhidayah Mohd Ali belum berjaya berikutan terlalu ramai yang datang memberikan penghormatan terakhir.

Adik kepada Abam, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan menenangkan ibunya, Sabariah Arshad selepas jenazah Abam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak. NSTP/Asyraf Hamzah

Berita Harian

1223